CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Tuesday, March 31, 2009

Kepercayaan orang bajau

Terdapat beberapa adat dan pantang larang mengenai upacara kematian yang dipercayai dan masih lagi dipegang dan diamalkan di kalangan masyarakat Bajau. Amalan-amalan tersebut merupakan adat-adat yang telah dibentuk dari zaman dahulu dan ianya tidak boleh tidak ianya mesti dipatuhi untuk kesejahteraan si mati dan keluarganya, malah untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Kemasukan unsur-unsur agama Islam sedikit sebanyak telah mengubah kesesuaian adat dan kepercayaan tersebut selaras dengan syariat Islam. Berikut merupakan antara amalan-amalan yang sering diadakan semasa berlakunya kematian.

1. BENGKAI-BENGKAIAN

‘Bengkai-Bengkaian’ ialah tilam atau tikar yang dibuka dan dihamparkan di tengah-tengah rumah. Ia bertujuan untuk meletakkan pakaian si mati selepas si mati meninggal dunia. Pakaian tersebut akan diletakkan selama tujuh hari tujuh malam sebagai tanda berkabung. Setelah genap tujuh hari si mati meninggal dunia, pakaian-pakaian tersebut akan disedekahkan kepada orang yang memandikan mayat, mengkafankan mayat dan orang yang terlibat dalam menguruskan jenazah tersebut.

2. BERJOGO (BERJAGA)

‘Berjogo’ dilakukan untuk menjaga ’Bengkai-Bengkaian’. Ia adalah bertujuan untuk mengelakkan daripada si mati diambil oleh makhluk lain iaitu ‘Hantu Balan-Balan’. Berjogo ini dilakukan selama tujuh hari tujuh malam berturut-turut selepas si mati meninggal dunia. Keluarga terdekat dan saudara mara si mati akan Berjogo sepanjang tujuh hari tujuh malam secara bergilir-gilir kerana mereka perlu ada wakil yang berjaga pada waktu malam dan tidak dibenarkan tidur. Sepanjang malam, mereka akan bergilir-gilir membaca Al-Quran untuk disedekahkan kepada si mati dan untuk menjaga ‘Bengkai-Bengkaian’. Menurut cerita zaman dahulu kala, apabila ‘Hantu Balan-Balan’ menjelirkan lidah ke arah ‘Bengkai-Bengkaian’ dan apabila lidahnya sampai ke arah ‘Bengkai-Bengkaian’, mereka percaya bahawa ‘Hantu Balan-Balan’ akan dapat mengambil mayat si mati tersebut di dalam kubur. Oleh sebab itulah, ‘Bengkai-Bengkaian’ amat dijaga dan tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa seorang wakil.

3. PESUK

Setelah mayat tersebut selesai dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan mayat tersebut akan diletakkan di dalam keranda untuk dibawa ke tanah perkuburan. Namun begitu, sebelum mayat tersebut dibawa ke tanah perkuburan, keluarga dan saudara mara si mati akan lalu di bawah keranda tersebut sebanyak tiga kali semasa keranda tersebut diangkat. Ia dipanggil sebagai ‘Pesuk’ di kalangan masyarakat Bajau di Kota Belud. Ini bertujuan supaya keluarga dan saudara mara si mati tidak merasa rindu kepada si mati. Bagi mereka, yang mati tetap mati, dan yang hidup perlu teruskan kehidupan.

4. KENDURI ARWAH & BACAAN TAHLIL

Kenduri arwah akan dilakukan pada setiap pagi dan petang selama tujuh hari berturut-turut yang dikenali sebagai ’Mangan Bangi’. Ia dilakukan pada hari ke 3, ke 7, ke 10, ke 20, ke 40, ke 100 dan selepas setahun selepas si mati meninggal dunia di rumah si mati. Kenduri arwah dan bacaan tahlil juga dilakukan selang 10 hari sehingga genap 100 hari selepas kematian si mati. Ia wajib dilakukan mengikut kemampuan. Namun begitu, ‘Mangan Bangi’ pada hari ke 7, ke 20, ke 40, ke 100 dan genap setahun selepas kematian si mati, bungkusan makanan yang terdiri daripada lauk pauk dan kuih muih akan diagihkan kepada ‘Fakir’ iaitu tetamu yang datang ke rumah si mati. Bungkusan ini dipanggil sebagai ‘Duang’ oleh masyarakat Bajau di Kota Belud.